Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

 


Penempatan moden, akses jaringan jalan baharu buat penduduk Rumah Panjang Alo, Oyan Ulu
Tarikh : 04 Sep 2020  Sumber Berita: astro AWANI
 

Penempatan moden, akses jaringan jalan baharu buat penduduk Rumah Panjang Alo, Oyan Ulu

Penempatan yang lebih selesa serta moden diberikan buat penduduk rumah panjang Alo, Oyan Ulu, Kapit. -Gambar Astro AWANI

KAPIT : “Sebelum ini hendak menyeberang sungai amat susah. Jika air pasang kami tidak dapat menggunakan perahu. Kadang-kadang, bawa barang ke sini, bot boleh terbalik. Air pula sangat deras,”
Begitu luahan Jawa Anak Chili, salah seorang penduduk generasi ketiga rumah panjang Alo, Oyan Ulu, Kapit mengenai kehidupannya bersama penduduk lain yang sebelum ini terpaksa mengharungi bahaya menaiki bot hanya untuk ke bandar Kapit.
Namun, semua itu berakhir apabila terbinanya penempatan baharu yang lebih moden beserta infrastruktur jalan yang memudahkan akses perhubungan penduduk.

 

Kini, perjalanan ke bandar Kapit yang asalnya memakan masa sehingga 4 jam dapat dipendekkan sehingga satu jam sahaja dari rumah panjang tersebut.
Jelas Pegawai Daerah Bukit Mabong, Douglas Pungga, dengan terbinanya kemudahan serta keperluan asas, ia menjadi penanda aras bahawa kawasan tersebut membangun seiring pembangunan di tempat-tempat lain.
“Kalau dahulu, hendak membina sebuah rumah panjang sangat payah kerana penduduk hanya bergantung dengan laluan sungai. Walaupun jalan balak ada, tetapi amat payah untuk membawa bahan binaan.
“Jadi, dengan jalan darat, penduduk di sini dapat memasarkan hasil tani mereka ke bandar-bandar lain,” ujarnya.
Kini, penempatan baharu yang bakal didiami akan memberi sinar.
Semuanya dapat dijayakan dengan kerjasma Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rumah Alo dengan kerjasama pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pembangunan ini sekali gus dapat meningkatkan produktiviti terutamanya isi pendapatan penduduk.
Bagi anak muda di kawasan itu, apa yang diharapkan semestinya kemudahan internet seperti yang lain.
Kata Natasha Feelara Nabau, dirinya bersyukur dengan penempatan baharu yang sedang dibina ini.
Namun, impiannya lebih besar iaitu untuk menyambung pengajian di menara gading sama seperti remaja yang lain.
Perkara ini membolehkan dirinya mendapat pekerjaan di masa hadapan atau memulakan perniagaan bersama kakaknya.
“Agak sukar apabila sebagai seorang pelajar, tiadanya kemudahan internet untuk kami menimba ilmu. Bukan itu sahaja, kakak saya juga sedang menjalankan perniagaan secara atas talian.
“Jadi kemudahan internet amat diperlukan,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Untuk itu, beberapa inisiatif kini sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membantu remaja seperti Natasha.
Antaranya dengan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) untuk menubukan institusi Politeknik atau Kolej Komuniti di kawasan itu untuk memberi nafas baharu buat belia di sana.