Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

 


Paras air Sungai Rajang naik mendadak
Tarikh : 07 Sep 2020  Sumber Berita: MyMetro
 

Kawasan penempatan penduduk sepanjang Sungai Rajang dinaiki air selepas paras air sungai berkenaan naik mendadak ekoran hujan lebat di hulu sungai sejak kelmarin. FOTO IHSAN BOMBA

Kuching: Paras air di Sungai Rajang naik mendadak susulan hujan lebat di kawasan hulu sungai terpanjang di Malaysia itu sejak kelmarin.

Memburukkan lagi keadaan, air pasang besar berlaku menyebabkan semua kawasan rendah sepanjang sungai berkenaan dinaiki air.

Turut terjejas beberapa pekan di tebing sungai antaranya Kapit, Song, Kanowit, Sibu dan Bintangor.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, beberapa rumah panjang dinaiki air, namun tiada pemindahan penduduk dilakukan.

Beliau berkata, pemantauan sehingga 2 petang ini mendapati paras air mula menurun dan keadaan dijangka pulih jika hujan lebat di kawasan hulu sungai berhenti.

"Setakat ini kebanyakan kawasan rendah sepanjang Sungai Rajang masih dinaiki air, terutamanya jalan raya yang ada antaranya tidak dapat dilalui kenderaan kecil.

"Pemantauan terus dijalankan dan jika ada keperluan, penduduk akan diarah berpindah," katanya.

Sementara itu, sumber berkata paras air di pekan Kapit, Song dan Kanowit mula naik mendadak sejak tengah hari semalam.

"Apabila paras air mencecah tingkat teratas Terminal Bot Ekspres Kapit, bermakna kawasan penempatan penduduk di kawasan hilir sungai pasti akan terjejas.

"Keadaan ini kerap berlaku terutamanya apabila hujan lebat di kawasan Belaga atau Baleh yang terletak di hulu sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 4:38 PM